Monday, 9 November 2015

Perubahan

Setiap manusia yang hidup di muka ini akan melalui pelbagai fasa di dalam kehidupan mereka. Dan manusia2 ini akan melalui fasa demi fasa seumpama meniti anak2 tangga. Di setiap fasa2 itu, ada perubahan demi perubahan yang dialami sama ada secara sedar atau tidak sedar.


Ada yang berpendapat bahawa perubahan itu bagus kerna kita tak lagi berada di takuk yang lama.



Ada juga yang menentang perubahan kerna tak ingin mengubah apa2 pada hasil akhirnya.



Baik atau buruk sesuatu perubahan itu, ianya bergantung pada kita untuk mendefinisikannya dengan keadaan kita.



Fuhhhh, nampak ilmiah sangat intro kali ni kan? Seram sejuk nak menaip ayat2 seterusnya. Kenapa? Sebab aku memang jarang nak tulis benda2 berilmiah dalam belog aku ni. Selalunya main terjah dan rempuh ja! (^_^)



Bercerita tentang perubahan, banyak cerita2 tentang airmata yang buat aku sebak dan tak mampu nak ungkapkan walau sepatah kata. Manusia berubah. Sungguh, manusia memang boleh berubah. Tak tipu! Manusia akan berubah!



Bila aku yakin diri untuk memandang masa2 sewaktu silam, aku sebenarnya melihat pelbagai kisah2 perubahan yang diplotkan dengan cantik dan kemas. Sahabat, rakan, seteru, musuh dan semuanya yg pernah ada pada hari2 silam aku semuanya telah melalui fasa2 perubahan. Mereka2 sedang membina kisah2 yang penuh dengan pelbagai warna. Mereka2 sedang mencorakkannya dengan pelbagai bentuk yang nampak rasional di mata mereka.



Dan aku juga sedang berubah!



Aku juga sedang membina jalan cerita yang tersendiri. Aku sedang lakarkan dengan tangan aku sendiri. Dengan keupayaan aku sendiri!!



Kalau ditanya apa inginku di akhir cerita nanti, aku ingin berhenti untuk punya walau sekelumit mimpi. Aku tak ingin menaruh walau sezarah harapan di hati. Aku tak ingin terlena dalam mimpi2 yang pasti. Tak ingin! Tak ingin!



Aku sedang melalui perubahan yang paling menggetirkan. Perubahan yang mellibatkan hidup dan mati. Perubahan yang akan membuatkan aku jatuh terperosok ke lembah hitam yang sunyi sepi jika aku tak kuatkan hati. 



Takut??



Kau usah menduga hati. Bagaimana nak aku berpura-pura tough kalau melibatkan hidup dan mati. 



Tapi aku tak sembunyikan seperti kisah2 lalu. Aku kongsikan. Aku kisahkan. Aku sebarkan. Aku ceritakan satu demi satu, supaya aku dapat pujuk hati untuk percaya aku tak keseorangan menempuh semua ini.



Dan ini perubahan. Perubahan yang paling jelas dan nyata yang aku pernah lakukan.



Doakan untuk 26 November 2015 yang mencarik-carik tenang dan damai di hati. Mudah mudahan, segalanya baik2 sahaja nanti.

Thursday, 15 October 2015

sahabat: Anugerah terindah dari Ilahi


Kita dah terbiasa menangis. Dah terbiasa merintih. Dah terbiasa melihat ujian demi ujian dari sudut yang kadangkala sangat berbeda dari pandangan manusia-manusia di luar sana.

Saat diduga, kita acapkali cuba untuk menanganinya sendiri.

Paksa diri untuk teguhkan kaki.
Cuba bangun walau jatuh berkali-kali.
Pendam, kunyah, telan dan hadam apa sahaja yang merintangi.


Kita selalu percaya diri. Terlalu percaya. Terlalu yakin bahawa kita tak perlukan apa-apa atau siapa-siapa.

Kalau boleh kita nak sembunyikan apa jua yang ternampak dek pandangan mata.

Kita hapuskan kesan airmata.
Kita sorokkan tangisan hiba yang meruntun jiwa.
Kita meraung. Menjerit. Memekik. Dan mengongoi tanpa suara.

Sebab kita percaya kita kuat.
Sebab kita nak orang benar-benar percaya kita kuat.
Sebab kita tak nak orang memandang kita dengan pandangan simpati.

Tak nak! Kita tak nak!
Kita rasa kita manusia hebat. Kita manusia kuat. Kita manusia yang utuh. Manusia yang tak akan terusik dek apa-apa. Manusia yang kaku. Manusia beku. Manusia yang tak pamerkan walau sekelumit riak. 
Kita manusia yang kononnya hebat!!

Tapi kita lupa akan beberapa asaskehidupan.

Kasih sayang, cinta dan persahabatan.

Belajar untuk berkongsi!

Belajar untuk luahkan apa yang meruntun bahu.

Belajar untuk sebarkan keperitan dan kelukaan kamu.

Belajar. Belajar. Dan belajar!

Kadangkala kita ingat manusia-manusia di sekeliling kita ini terpedaya akan lakonan kita. Kita kena ingat seperkara.

Mereka-mereka mungkin lebih terdera melihat kepura-puraan kita itu

Terkadang kita mungkin terbawa-bawa dengan watak yang sempurna dan tiada apa-apa. Sampai satu tahap, kita tak sedar bahawa sebenarnya kita sedang melukai hati kita sendiri.

Sampai bila kita ingin menyakiti? Sampai bila?

Jangan dipendam semuanya sendiri. Kita mungkin akan lebih terluka nanti. Lebih sengsara. Lebih menderita.

Luahkan.
Kongsikan.
Sebarkan.

Kita punya pilihan.!

Pasti ada yang peduli akan jatuh bangun kita.

Pasti ada yang akan melangkah bersama-sama kita.

Pasti ada yang akan meminjamkan bahu untuk kita hamburkan satu persatu yang mengasak kalbu.

Pasti ada yang akan menggenggam erat jemari saat sukar itu.

Dan pasti, insan yang bersama-sama kita itu akan setia menemani hari-hari kelam itu.

Kerna insan hebat seperti itu akan terus berada di samping sahabatnya selalu.



*Terima kasih sahabat kerna ada di setiap ruang waktu. 

Monday, 12 October 2015

hati, jangan berbolak-balik lagi!

Tenang di sini
Mula2 aku tak boleh terima kenyataan yang aku sakit. Berbulan-bulan aku berfikir tentang persoalan yang sama. Kenapa aku? Apa salah aku? Apa dosa aku? Kat mana silap aku?

Sepertinya setiap minit soalan2 yang sama berlegar-legar dalam kepala aku. Tak boleh nak aku buang dari melekat di kepala. Tak boleh nak aku nyahkan dari membisikkan kata2 yang penuh durjana. Degil. Tak pernah langsung berhenti dari cuba menjahanamkan emosi aku!

Rasanya hampir seminggu aku menangis sebab hilang rasa percaya. Hilang rasa redha. Hilang rasa yakin. Hilang segala-galanya. 

Aku rasa macam tak punya apa2. Rasa tak berguna. Rasa loser tahap dewa.  

Giler kot!

Aku tamatkan kontrak. Aku berhenti mengajar. Bayangkan, aku lepaskan benda yang paling aku aku suka dan sayang dalam hidup ni. Memang rasa gagal gila2. Perasaan tak berguna tu memuncak-muncak di dalam dada. Aku dah tak punya apa2. Dah hilang identiti diri. Dah lunyai, buruk dan tak berharga lagi.

Aku lalui hari2 yang penuh cabaran itu dengan sendiri. Aku berperang seorang diri. Mengatur strategi demi strategi. Mengasak dari kanan dan kiri. Tak mungkin aku akan jatuh lagi. Tak mungkin! Tak mungkin!

Aku ikut terapi yang ketat. Ubat demi ubat. Nasihat demi nasihat. Aku melihat sendiri pelbagai perubahan yang acapkali menggentarkan hati. Ada yang positif. Ada yang negatif. Dan kedua-duanya  tetap menggundahkan hati.

Bila semakin punya kudrat, aku kembali mengajar. Aku ingin terus berbakti. Aku mahu terus menyemai budi. Mengajarkan itu dan ini pada anak2 syurga yang mendamaikan hati.


Aku ingin dipunyai.
Aku ingin buangkan perasaan tak berguna yang asyik menerjah dari setiap sudut diri.
Aku ingin kembali. Kembali menjadi manusia seperti hari2 indah dan penuh warna warni.

Dan sekarang aku sudah di sini. Melawan rasa tak berguna dan cuba untuk bangun kembali. Aku baik2 sahaja. Masih sama senyumnya. Masih sama tawanya. Masih sama dalam apa jua.

Hei Merah, 
Rileks suda!



Saturday, 10 October 2015

Rapuh

Aku cukup2 takut bila hati aku dijentik dengan perasaan rapuh. Serius, ketakutan tuh mengatasi segala-galanya. Lebih takut dari masalah acrophobia aku. Nampak tak? Itu adalah ketakutan terbesar aku dalam hidup nih.

Aku tahu benar akan diri ini. Bila aku rapuh, aku mudah hilang fokus. Aku jadik tak berapa rasional. Aku akan berada dalam keadaan emosi. Aku akan menyendiri dan mengasingkan diri. Aku tak nak kongsikan apa2 yang sedang kucar kacir dalam hati nih. Bukan sebab aku kuat, tapi sebab aku tak reti nak luahkan pada sesiapa.

Masa adalah penawar yang mujarab.!

Betul. Lama2 aku akan pulih sendiri. Baik sendiri. Sembuh sendiri.

Aku manusia, normal la nak merasa rapuh. Kan?

Sungguh, aku tak tahu kerapuhan yang bagaimana lagi yang akan aku rasa pada masa2 akan datang. Aku memang tak boleh agak. Aku tak tahu. Tak tahu!

Tapi aku tahu sesuatu. Ada yang peduli akan jatuh bangun aku. Ada doa dari manusia2 peduli untuk manusia macam aku nih. Ada yang melihat dari kejauhan. Menyampaikan kata2 semangat secara tersirat. Mengirimkan bisikan2 untuk semangat.

Ya, aku sedang bangun dari keadaan rapuh itu!

Aku sedang meredah ujian2 ini. Aku kembali bangun dan berdiri. Aku tak akan sia-siakn kehidupan ini. Ini cuma sedikit. Cuma sedikit. Sedikit.

Hari2 selepas ini mungkin lebih rumit lagi, tapi aku akan terus berlari untuk mengejar mimpi. Aku akan pulih. Akan sihat. Akan kuat. Akan teguh tanpa rasa rapuh lagi!



Insyaallah. All is well.

Wednesday, 9 September 2015

adik

Dalam dunia ni aku adalah kakak yang paling beruntung, bertuah dan paling paling bernasib baik. Tak semua orang ada adik lelaki yang istimewa macam aku. Sungguh, tak semua orang ada.

Beza umur kami cuma 4 tahun. Dan yang tipikalnya, dia cuma panggil nama aku tanpa gelaran kakak langsung. Bertuah punya budak!

Adik lahir selepas kelahiran 3 anak perempuan. Masa kecilnya adalah bersama-sama kakak2 yang pelbagai karektor. Membesar bersama kakak2 membuatkan adik diajar membuat kerja2 rumah tanpa perbezaan jantina. 

Selepas 22 tahun, aku masih lagi merasakan aku kakak yang bertuah. Adik menjadi nadi untuk kami bermalas-malasan sambil baring2 tengok tv. Contoh:

Adik, masak nasik dulu sebelum keluaq mana2 ek.

Hang mesin baju dulu tau. Satgi Merah sidai.

Dik, balik satgi singgah beli apa2. Lapaq la.

Merah nk ayaq milo suam. Tolong bancuh kurang manis ek.

Goreng teloq kat Merah sama. Separuh masak.

Nampak? Adik yang aku bangga-banggakan tuh bukan manusia picisan. Adik manusia hebat. Manusia yang manjanya cuma ternampak pada manusia2 peka. Manusia yang nampak dingin luarannya namun lembut dan nyaman jiwanya. Manusia yang kau boleh sandarkan harapan atau keinginan. Manusia yang mantap dalam serba serbi. 

Adik boleh menjadi apa sahaja. Apa2 sahaja. Pembancuh air yang cekap, tukang masak nasik, tukang paip, teman ke pasar malam, driver tak bertauliah, pengkritik tegar, pengasuh, dan macam2 lagi. Kadang2 aku menggunakan khidmatnya dalam menentukan fesyen pakaian. Nampak tak? Adik memang hebat.

Pernah satu kali tuh aku sakit sampai tak mampu nak bangun. Hatta nak angkat kepala pun aku tak mampu. Adik nampak keadaan aku, namun dia pura2 mengabaikan ketidakupayaan aku. Aku mengiring. Aku cuba nak makan nasi. Aku pegang sudu sambil baring dan cuba menyudu nasi ke mulut. Hasilnya nasi tumpah dan berselerak di atas tilam.

Tiba2 adik datang. 

La, napa tak cakap hang lapaq. Nak makan nasi ek.

Dengan slumbernya dia ambil sudu kat tangan aku. Dia carik2 ikan dan suap bersama nasi ke dalam mulut aku. Tanpa mengeluh sesuap demi sesuap nasi masuk ke dalam mulut aku. Kemudian dia angkat kepala aku supaya aku dapat menyedut air. Allah. Allah. Allah.

Adik melihat jatuh bangun aku. Dia peduli akan apa sahaja yang jadi pada aku. Dia yang bersungguh-sungguh menghantar aku ke hospital. Mengambil aku dari hospital. Mengurut kaki dan tangan pabila sakit menyerang. Dia tak pernah merungut. Tak pernah langsung.

Adik, 
Mungkin Merah tak cukup tunjuk yang Merah sayang hang. Tapi percayalah, Merah sayang hang. Sangat2 sayang. Sungguh2 sayang. Terlalu sayang. Menjadi sebahagian daripada hidup hang anugerah terindah buat Merah.


Tuesday, 1 September 2015

kau jangan takut!

Kau jangan menangis. Jangan sedih2. Jangan biarkan perasaan tak berguna tuh membunuh semangat kau. Jangan dengar bisik2 negatif yang cuba menghancurkan impian kau. Cita2 kau. Mimpi2 manis kau. Jangan!

Kau jangan takut. Walau kau bangun pagi dan kau rasakan badan kau semakin tak serasi dengan kau. Walau kau tak mampu gerakkan sendi2 kau. Walau kaki kau makin lemah dan bila2 masa saja kau boleh jatuh. Walau jari2 kau kadang2 merekot dan amik masa yang panjang untuk kembali seperti sediakala. Kau jangan takut. Jangan takut.

Kau jangan takut untuk menipu. Dengan menipu kau mampu menenangkan hati2 manusia yang kau sayang. Dengan menipu kau nampak normal. Dengan menipu kau tak akan menonjolkan ketidakupayaan kau. Kau jangan takut.

Kau jangan takut untuk menyendiri dan lari dari manusia2 yang peduli. Kau ada Dia Yang Maha Peduli. Cukuplah Dia. Cukuplah dia. Kau jangan takut ek.

Friday, 28 August 2015

kau jangan berhenti melawan!

Pernah tak engkau2 rasa tak berdaya? Kau cuba lawan semua benda yang tiba2 menghalang laluan kau. Selalunya kau mampu untuk menjadi pemenang. Kau dah terbiasa menjadi johan. Kau dah terbiasa melawan. Dah terbiasa menggempur apa2 yang cuba menjahanamkan kau.

Sampai satu tahap, kau tak mampu lagi melawan. Ianya di luar kemampuan kau. Ianya bukan dalam bidang kuasa kau. Semuanya luar dari batas kemampuan kau. 

Kau cuma mampu melihat satu persatu keupayaan kau hilang. Mungkin kau pernah lupa akan nikmat Tuhan. Mungkin kau tak pernah rasa hilang keupayaan. Kau cuma mampu memandang. Memandang pada ketidakupayaan yang kau tak pernah jangka akan mendatang. 

Bukan, bukan salah sesiapa. Ini ujian Tuhan. Redha.

Kau menangis. Kau meraung. Kau meratap. Kau menjerit. Namun kau tetap sama. Tuhan sedang menduga.

Kau lepaskan angan2 kau. Kau korbankan cita2 kau. Kau tinggalkan dunia bersama-sama anak syurga yang mendamaikan jiwa kau. Kau berhenti dan tenggelam dengan jasad yang semakin uzur dek ujian. 

Kau dah tak mampu mengajarkan itu dan ini. Dan kau noktahkan perjuangan itu dengan rasa sebal di dada. Kau kecewa. Kau terluka. 

Kau jangan berhenti berdoa. Pasti ada kesembuhan.pasti. Insyaallah.

Kau jangan mengalah tau. Susah macam mana pun, kau perlu bangun. Jangan menyesal akan ketidakupayaan kau kerna ia tarbiah dari Tuhan. Mati itu pasti, hidup itu insyaallah. Doa. Doa. Doa.



Thursday, 30 July 2015

sempurna


Sempurna.

Bagi mereka aku manusia sempurna. Manusia tanpa cela. Manusia yang baik serba serbi. Manusia yang masuk dalam kategori 'baik2' dalam apa jua keadaan.

Sungguh, rasa macam nak sorok muka dalam laci bila tahu pandangan orang terhadap aku. Pandangan yang cukup2 sempurna tuh menakutkan aku. Aku bukan manusia sempurna tuh!

Pabila kau memandang pada masa silam aku, kau akan nampak seorang manusia hitam legam. Manusia yang alpa. Manusia yang lupa. Manusia hina. Manusia pendosa. Manusia yang pernah lalai kerna dunia. 

Ya, manusia silam yang kau lihat itu adalah aku! Aku! Aku!

Aku masih manusia yang sama, bezanya cuma satu. Aku berjuang untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Manusia yang kenal Tuhan.

Kadang2 ada juga silap di mana2, tapi Tuhan tutup aib aku. Mungkin sebab tuh ramai yang melihat sisi sempurna aku. Allah!

Aku cuma an-nisa, pendosa yang paling banyak di neraka.

Saturday, 18 July 2015

selamat hari raya aidilfitri 2015


Assalamualaikum wbt.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin untuk korang2 yang singgah berteduh kat belog Merah nih. Kosong2 ek!

Hari raya tahun ni tak buat apa2 tema. Colourful gitu. Tahun ni semua pakat2 beli baju raya yang kaler2 terang dan silau mata memandang. Hahahaha, dah macam pelangi semua.

Nah belanja dua keping gambar raya Merah tahun ni. Mana tahu kot2 ada yang rindu. Kihkihkih(^_^).


Hari nih budak cutie pie nih sangat2 manja tahap gaban. Asyik2 nak Merah yang uruskan dia. Tak mau kat sapa pun. Sikit2 Ummi. Sikit2 Ummi.

Makan nak Ummi suap. Keta kena naik sekali, tak boleh pisah2. Kalo tak boleh mendatangkan marah. Huhuhuhuhu. Ummi kena dukung. Kalau majuk Ummi yang kena pujuk walaupun Ummi tak terlibat. Sepanjang hari mulut tuh asyik dok panggil Ummi ja. Hariz Afzan manja2 dengan Ummi ek.! ❤



SELAMAT HARI RAYA 2015



Tuesday, 14 July 2015

kenapa aku jadik cikgu


Situasi 1

Semua cikgu pakat2 bersalaman dengan pelajar2 yang excited dapat duit raya. Suasana meriah. Dengan lagu2 raya, ucapan2 raya dan suara2 memohon maaf. Aku perasan ada seorang pelajar yang monyok. Sampai turn salam dengan aku, aku senyum dan peluk dia erat2. Tahu apa dia cakap?

Cikgu, saya dah tak ada mak. Macam mana nak raya tanpa mak?

Aku peluk dia erat2. Aku usap belakang dia. Aku kucup dua2 belah pipi dia. Ada getar di dadanya. Sumpah, aku tak sedar bila masa airmata jatuh!


Situasi 2

Aku dah hampir give up dengan anak2 syurga kelas paling belakang nih. Bukan tahap intelek mereka yang membimbangkan aku, tetapi sikap mereka yang tak mampu diam walau seminit. Bising. Dan aku sangat2 susah nak kawal pelajar2 india kelas tuh.

Satu hari aku masuk kelas dengan senyuman macam biasa. Dua pelajar india yang paling susah aku nak kawal datang ke meja guru.

Selamat hari raya cikgu. Kami semua sayang cikgu. Kami buat kad nih untuk cikgu. 

Aku ambil kad2 tuh dengan mata berkaca-kaca. Dalam hati aku pasakkan keazaman dalam hati.

Siapa cakap manusia tak boleh berubah ke arah yang lebih baik.


Situasi 3

Minggu2 last nih memang semangat anak2 syurga ni untuk belajar dah turun ke level paling rendah. Aku faham. Mood raya dan mood nak bercuti dah mengausai keadaan. Masuk kelas aku bagi latihan sikit2 ja. Masuk masa kedua aku borak2 dengan mereka. Aku bercakap soal kasih sayang. Tiba2 pelajar pasif di hujung kelas menempelak aku.

Cikgu tahu apa tentang kasih sayang! Takkan ada yang nak peduli pasal orang lain.

Nadanya lain. Marah. Geram. Kecewa. Mungkin juga tak berpuas hati. 

Perlahan-lahan aku menapak ke hujung kelas. Dia berdiri seolah-olah ingin menghalang aku menghampiri. Aku mara. Aku genggam tangan dia. Aku tarik dia agar hampir dengan aku. Dan aku peluk dia erat2.

Cikgu peduli.

Dua perkataan tuh rupa-rupanya begitu berkuasa. Dia menangis semahu mahunya di bahu aku. Pelukan semakin erat. Tangisan semakin hiba. Basah tudung dek airmata. Dalam hati aku bersuara. 

Anak, lepaskan semuanya. Cikgu ada untuk memimpin kamu. Jangan bimbang akan jatuh bangun kamu kerna cikgu ada untuk memaut jemarimu semula.

Pengalaman adalah pengajaran terbaik untuk kita.

Aku boleh memilih untuk menjadi manusia yang menghambakan diri demi wang ringgit untuk mengejar dunia. Aku boleh memilih kerjaya yang lebih stabil berbekalkan kelayakan aku.

Namun aku masih tega menggalas tanggungjawab untuk mendidik anak2 syurga. Bukan kerna apa2, tetapi kerna cinta yang berputik di jiwa. Dengan sedikit cinta, mereka boleh melangkah jauh untuk mengejar cita2. 

Aku benar2 gembira melihat mereka2 bertatih menyelusuri mehnah dunia tanpa pimpinan tangan aku suatu masa nanti. Detik itu aku akan tersenyum puas dan bangga kerna pernah ada sewaktu zaman remaja mereka.




Saturday, 4 July 2015

spaghetti goreng ala pan asian yang sedap hingga menjilat pinggan, garfu dan siku


Ehhhh, hari nih dah 17 Ramadhan. Pejam celik pejam celik dah 17 hari kita posa kan. Macam tak caya. Rasa macam baru semalam ja puasa. 

Rutin harian masih macam biasa. Pergi sekolah, mengajar anak2 syurga, bukak silat gayung sikit bila depa nakal2, gelak2, usik sana sini, balik rumah, masak, tidur dan macam2 lagi lah. 

Tapi bila bulan puasa ni, selera giler mengada-ngada. Manjanya kalah budak setahun. Teringin macam2. Nasi ayam hainan la. Nasi briayani la. Durian la. Cendol, abc, rojak, tomyam dan segala jenis makanan. Kalah ibu mengandung. Hahahaha, kau mampu?

Tapi sejak dua menjak nih asyik nak makan spagetti. Hari tuh buat spagetti yang jenis fettucini tu. Buat carbonara. Letak isi ayam kisar dengan mushroom ja. Tapi dia punya melantak sepinggan longgok2. Sedap sampai jilat2 garfu. Wehhhh, memang buruk lantak la perangai!

Dan tak sampai 3-4 hari, hari ni menu berbuka spagetti lagi. Spagetti yang hari tuh masih dok baring2 lagi dalam perut dan tak habis hadam lagi, hari ni buat spagetti lagi. Hahahaha, gasak la. 

Merah nak cakap panjang lebar pun tak guna kan. Meh nak citer camna nak buat spagetti goreng ala pan asian yang sedap tahap jilat pinggan, garfu dan siku.

Bahan2:

Spagetti (Merah guna yang jenis fettucini?
Sotong 
Udang
Brokoli
Carot 
Bawang besar sebijik
Bawang putih 3 ulas
Cili hidup warna merah 4 biji
Perencah spaghetti bolognaise jenama maggi
Sos tomato 2 sudu besar
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

1) Celur spaghetti mengikut arahan dalam pek spaghetti tersebut. Ketepikan.
2) bawang besar + bawang putih + cili hidup ditumbuk secara manja2. Jangan tumbuk lumat yer anak2.
3) Tumis bahan yang ditumbuk sehingga agak garing. Masukkan carrot.
4) Masukkan garam, sos tomato, udang dan sotong. Seminit kemudian masukkan spaghetti. Masukkan juga perencah spaghetti bolognaise. Kacau rata.
5) Bila dah rasa cukup ohsem, masukkan brokoli dan kacau sekejap. Kemudian tutup api dan boleh dihidang.

Ni masa tungtang2 dalam kuali
Tadaaaa.. Jemput makan
Tadi makan spaghetti ni dengan perasaan yang cukup syahdu. Giler sedap wehh. Menitik-nitik airmata di pipi Merah. Ok, tu tipu.!(^_^)

Tapi kan, memang sedap sungguh2. Adik2 pulun makan. Bila kita masak menda2 western ni, kita kena derhaka sikit. Tekak melayu kot. Mana mampu nak jadik akak rambut perang dengan mata biru. Tahniah Merah. Kipidap.

Wednesday, 1 July 2015

una


Aku kenal Una sewaktu aku sedang bergelut dengan macam2 benda yang aku simpan kemas di dada. Una sama seperti aku. Cikgu ganti yang sama2 bergelut dengan keadaan persekitaran sekolah yang kadang2 mengganggu gugat iman kami.

Bersama-sama Una, tercipta pelbagai impian2 yang kadangkala macam pelik dan mustahil untuk dicapai. Tapi aku tetap berani bermimpi sebab Una sentiasa ada meminjamkan telinga untuk mendengar segala omelan aku yang kebanyakannya mengarut belaka.

Una istimewa, manusia yang tak pernah menghalang mimpi2 atau angan2 manusia2 lain. Padanya, bermimpilah selagi kau ingin bermimpi kerna dengan bermimpi kau akan menukarkannya kepada realiti.!

Seketika bersama Una telah menerbitkan sayang, sayang yang aku jarang2 mampu palitkan pada mana2 insan. Sayang yang membuatkan aku terkesan pada hebatnya aturan Tuhan. Sayang yang membuatkan aku takut jika hati Una yang halus itu dicalar-calarkan oleh manusia2 hitam dan kelam.

Sangat2 sayang. Sayang kerana Allah. Bersahabat bukan kerna siapa kau pada masa dahulu atau kini, tapi bersahabat kerna ilahi.

Una yang manis,
Mungkin kau rasakan hatimu sering berbolak begitu dan begini.
Mungkin kau sendiri tak pasti akan aturan ilahi.
Mungkin juga kau sedikit ragu dan keliru akan hakikat hidup ini.

Una,
Tuhan itu ada untuk kamu.
PadaNya ada bahagia.
Bahgia yang kau cari setelah sekian lama.
Pasti ada bahgia itu. Pasti!!

Una, moga cinta Allah sentiasa memelukmu!

Sanah helwah!!



Monday, 22 June 2015

selamat hari guru!!



Selamat Hari Guru!

Walau macam dah lambat sangat wish ni, Merah tetap nk tepek kat sini juga. Kisah 16 Mei yang penuh dengan cinta.


Ini salah satu sebab kenapa aku terus bergelar seorang guru. 

Cinta. 

Cinta tanpa syarat. Cinta tanpa tembok. Cinta tanpa mengharapkan apa2. Cinta yg disemai untuk 'anak2 syurga' yg dahagakan perhatian dan cinta. Cikgu sayang semuanya! Sayang. Sangat2 sayang!

Melihat anak syurga itu, hati berbunga-bunga dengan cinta. Ini rupanya perasaan cinta! Menjadi sebahagian daripada masa remaja mereka, merupakan satu anugerah.

Mendidik adalah proses utk belajar.

Belajar menjadi sabar. Belajar menjadi kuat. Belajar menjadi tahu. Belajar menjadi kebal. Belajar menjadi peduli. Belajar, belajar n belajar.

Selamat Hari Guru buat semua guru2 yg pernah mengajarkan saya menJadi manusia dan tak lupa juga kepada rakan2 guru yang tough2 belaka. 




Thursday, 18 June 2015

kerna dia pernah aku cinta



Amaran : Sumpah, entry ni super duper panjang.

Lama, cukup2 lama aku privatekan belog nih. Aku tak pernah privatekan belog ni lama2 macam nih. Nih kali pertama aku lari jauh2 dan membisu tanpa khabar berita. Aku perlukan sedikit ruang untuk menyendiri. Sepanjang tempoh kebisuan itu aku lebih banyak muhasabah diri. Aku refresh balik kehidupan aku sepanjang usia kedewasaan aku nih. Aku benar2 berfikir. Berfikir dengan sesungguh-sungguhnya. 

Bila dah rasa boleh bernafas  dan tough sikit jati diri, aku buat keputusan untuk bukak balik blog nih. Kemudian aku rasakan aku perlu berkongsi dengan manusia2 yang seperti aku di luar sana. Manusia yang terluka. Manusia yang kecewa. Manusia yang berduka. Dan manusia yang cuba bangkit walau ntah berapa puluh ratus juta kali terjatuh, tersembam, tersungkur dan terhenyak tanpa kata.

Memilih untuk menulis di sini bererti memilih untuk menyingkap hikayat2 lama yang tak pernah sangat aku coretkan kat belog aku nih. Kitab2 kuning, memo2 puitis dan bingkisan2 hati yang aku simpan selama 8 tahun ini akan aku rungkaikan selembar demi selembar dengan penuh rasa sabar. 

Ini salah satu dari cerita silam aku. Cerita tentang cinta yang berbunga-bunga indahnya. Cerita tentang bahagia yang manisnya lebih lagi dari gula. Ini cerita tentang dia. Cerita tentang dia yang pernah dulu aku cinta.

Ini cerita tentang cinta.!!

Juga cerita tentang impian dan harapan yang aku warnakan dengan rona2 cinta.

Suatu masa silam dahulu, aku telah dilamun cinta. Cinta di usia remaja. Cinta yang mengubah 360 darjah kehidupan aku. Cinta yang menanamkan kepercayaan di hati bahawa aku dan dia itu akan disatukan suatu hari nanti. Cinta yang membuaikan hati dan perasaan. Cinta yang indah, cukup2 indah hinggakan aku lupa bahawa cinta tak semestinya berakhir dengan ending yang happy2 belaka.

Masa berganjak. Ujian berganti. Dan kisah itu menjadi rumit dengan pelbagai watak yang silih berganti.

Dan rijal itu akhirnya pergi meninggalkan aku sendiri. Pergi tanpa pernah menoleh lagi. Pergi tanpa pernah memikirkan akan aku lagi. Pergi dengan ego yang melangit tinggi. Pergi dengan harapan yang membuak-buak di hati bahawa yang sempurna persis bidadarilah yang selayaknya menjadi suri.

Impian aku. Angan2 aku. Kisah manis aku. Cinta aku. Dan segalanya galanya bertukar menjadi kabur.

Aku nanar. Aku buntu. Aku merana. Aku menjadi lemah tak berdaya. Lembik. Cengeng!!

Aku tak pernah menyangka bahawa perasaan yang cukup2 indah itu akan melukakan aku dengan begitu dasat sekali. Aku tak pernah terfikir bahawa aku akan tersakiti. Tak pernah terfikir! Tak pernah langsung!! Tak pernah!!

Saat tuh aku merasakan diri aku nih cukup2 tak sempurna. Hodoh. Gemuk. Hitam. Comot. Selekeh. Bodoh. Dan buruk.

Sepertinya aku adalah manusia yang paling lekeh dalam serba serbi. Manusia yang hina. Manusia yang menjelikkan. Manusia yang penuh dengan dosa2 silam.

Keyakinan diri aku hancur lebur. Nilai2 positif aku sudah ditongsampahkan tanpa kompromi. Yang tinggal cuma rasa kekurangan demi kekurangan yang meremuk rendamkan hati aku.


Sungguh2 bingung dengan mainan hati dan perasaan. Aku cuma mampu menangis sendiri. Bila airmata dah berhenti mengalir, aku pujuk diri aku untuk jadik kuat. Bisikkan kata2 semangat. Paksa mind set supaya ubah segala angan2 yang aku corakkan sepanjang rasa cinta dulu. Setiap hari aku tak pernah lupa untuk bisikkan pada diri sendiri bahawa aku manusia kuat dan hebat.

Sedaya upaya aku pujuk hati yang degil itu. Tak kan selamanya aku ingin tersakiti. Sampai bila nak melayan duka. Sampai bila nak menyimpan rasa. Lepaskan. Lepaskan rasa cinta. Lepaskan rasa sayang.  Lepaskan dia yang pernah dulu aku cinta!

Aku manusia yang terlalu setia. Walau di asak dengan pelbagai perkara aku tetap memilih setia. Walau tiada jaminan bahgia, aku tetap memilih setia. Walau menunggu terlalu lama, aku tetap memilih setia. Setia yang mencarik-carik hati sehinggakan aku terluka. Setia yang tak kemana!

Aku privatekan apa2 komunikasi. Aku memilih untuk berdiam diri. Mencari solace. Mencari damai. Mencari tenang. Mencari kuat. Mencari tabah. Mencari, mencari dan terus mencari.

Dalam pencarian itu aku belajar erti pulang. Pulang pada Tuhan. Mengadu, mengongoi, merintih, meraung, menjerit dan memohon sedikit rasa kuat. Cukuplah sedikit kuat itu membantu aku merangkak untuk meneruskan kehidupan ini.

Saat dia melafazkan akad pada an nisa itu, cinta yang aku simpan selama 8 tahun itu tiba2 terungkai bersama titis2 airmata yang degil untuk tega mengalir. Aku tak menghalang, sebaliknya aku biarkan airmata itu menujah semahu mahunya. Moga2 ia akan hilang bersama sama perasaan yang asing itu.

Berkali kali aku memujuk diri, Allah sedang menguji hati. Pasti ada hikmah. Pasti ada sesuatu. Pasti ada rencana lain yang dirancang untuk aku. Pasti!!

Melalui waktu2 sukar itu sememangnya menyakitkan nurani aku. Bagaimana untuk aku bangun? Bagaimana untuk aku memulakan kembali rasa cinta pada yang selayaknya? Bagaimana aku ingin mengukir kisah2 manis lagi selepas ini?

Bukan baru semalam aku mencintai dia. Lama, cukup2 lama. Semenjak diusia belasan tahun lagi hatiku dicuri oleh dia. Semenjak hati masih muda remaja. Semenjak perasaan masih mentah lagi. Semenjak dia mengungkapkan cinta pertama tanpa memandang apa2. Dan semenjak itu aku telah menyimpan cinta. Aku cuma melihat dia. Cuma dia.! Cuma dia yang aku cinta!!

Dia adalah manusia pertama yang berjaya menggetarkan hati dan naluri aku. Manusia yang pertama berjaya membuatkan aku tersenyum, ketawa, menangis dan mengadun pelbagai rasa atas sebab2 yang tak dapat aku jelaskan dengan kata2. Manusia yang benar2 membuatkan aku terlalu cinta.

Aku benar2 bingung..

Aku tiba2 menjadi manusia pegun. Manusia yang petah berbicara, manusia yang indah bahasanya dan manusia yang penuh nasihat2 di setiap tutur katanya tiba2 menikus sepi tanpa apa2. Aku jelik pada jasad yang aku kira terlalu asing keadaannya.

Setiap hari aku memaksa memori untuk berhenti mengingati. Aku ingin lupa. Aku ingin berhenti merasa cinta. Aku ingin kikis walau secebis rasa yang tertinggal di jiwa. Aku ingin menghambat tanpa rasa belas. Biar sakit. Biar perit. Biar berbekas dengan parut seribu, asalkan rasa itu menjauh beribu batu.

Aku perlu lebih tahu tentang cinta. Bagaimana aku boleh menjadi manusia alpa dan egois pada Tuhan Pemilik Cinta? Bagaimana aku boleh meletakkan rijal itu di tempat yang istimewa sedangkan cintaNya memenuhi ruang jiwa. Aku perlu merenung dan meneliti kembali hakikat kehidupan ini. Aku perlu pulang pada kehidupan bertuhan. Aku perlu bangun dan bukan lagi hanya bertahan.

Aku lalui hari2 sepi dengan semangat yang baru. Aku tak lagi menoleh. Aku berhenti menjadi peduli. Biarlah dia dengan dunianya. Aku sibukkan diri dengan anak2 syurga yang kerap menagih cinta. Aku runtuhkan tembok2 batu yang aku bina sewaktu zaman hitam agar aku bisa menyebarkan cinta pada wajah2 bersih yang acapkali membenihkan rasa cinta. Aku tidak lagi berusaha membina tembok yang tinggi melangit. Aku ingin merasa cinta. Cinta pada apa jua yang aku usahakan. Walau bagaimana payah mendidik mereka, aku benar2 asyik dan kemaruk menyebarkan cinta. Aku ulit anak2 syurga itu dengan penuh rasa kasih dan sayang. Aku tak ingin lagi memendam rasa. Tak ingin!

Melalui anak2 syurga itu aku belajar erti cinta yang sebenar-benarnya. Aku tidak ingin menjadi manusia yang mementingkan diri lagi. Aku telah lama terlupa untuk merasa syukur. Aku punya segalanya. Keluarga yang bahagia. Sahabat2 yang manis2 belaka. Kesihatan yang baik. Kerjaya yang mulia. Dan aku dikelilingi insan2 yang sentiasa ada untuk disetiap jatuh dan bangun aku.

Nikmat yang mana lagi yang aku nak dustakan??

Anak2 syurga yang mentah itu lebih teruji dari aku. Ada yang tak punya ibu dan bapa. Ada yang dibelenggu kemiskinan yang kadangkala membuatkan aku merasa sesak di dada. Ada yang datang dari keluarga yang berantakan. Ada yang menjadi mangsa ibu bapa yang tidak rasional pemikiran mereka. Anak2 itu lebih terdera. Anak2 itu lebih hancur dan luluh jiwa mereka. Anak2 itu lebih memerlukan perhatian dan cinta!

Mendidik anak2 syurga itu bererti mendidik hati dan nurani aku juga. Sungguh, sepanjang tempoh aku menghilang ini aku sebenarnya bukan sedang merawat hati yang hancur kerana dia yang pernah aku cinta. Aku sedang menyemai cinta. Aku sedang mencurahkan cinta. Dan aku sedang dilamun cinta. Cinta pada anak2 syurga.

Aku buka hati seluas-luasnya. Selebar lebarnya. Selapang lapangnya. Aku ingin menyebarkan cinta pada manusia2 yang aku cinta. Manusia yang sentiasa ada.

Aku semakin pulih. Semakin sedar diri. Dan semakin teguh dalam tiap langkah. Ramai yang mengirimkan doa untuk melihat aku tersenyum dan bahgia. Ramai yang peduli. Ramai yang menyayangi. Ramai yang mengasihi. Allah. Allah. Allah.

Buat pertama kali aku menadah tangan pada Rabbul Izzati, mudah mudahan dia yang pernah aku cinta merasa bahagia hingga akhir usia. Aku bukan manusia sempurna seperti yang diingininya. Aku percaya bahawa ada yang akan membuatkan aku menjadi sempurna suatu hari nanti. AturanNya punya hikmah yang tersembunyi. Aku tak menaruh walau sekelumit dendam sebab aku percaya pada yang Maha Kuasa. Cinta itu bukan untuk aku. Cinta itu itu terlalu rapuh untuk manusia seperti aku. Cinta itu perlu dikembalikan pada yang selayaknya.


Pergilah duhai cinta. Pergilah, kerna aku percaya bahawa pasti ada cinta lain yang Dia aturkan untuk hambaNya ini. Pasti!!



1 Ramadhan 1436

Thursday, 5 March 2015

buat adik2 spm dan stpm 2014, mabruk ek

Assalamualaikum.

Eh, dah tahu kan result spm dan stpm 2014 dah keluar! Amacam, gempak tak hasil tuaian adik2 semua? Happy? Excited? Blurr? Sedih? Kecewa? Putus asa? Rileks suda...!!

Buat yang kutip banyak C, D, E, F dan G tuh, tak payah nak moody atau frust tahap dewa sangat. Jangan nak salahkan takdir atau pertikaikan itu dan ini. Tolong belajar untuk terima apa yang tersurat ek.

Merah dulu pun bukan genius tahap dapat iktiraf dari Mensa pun. Banyak subjek yang kategori ke laut. Mana nak dapat result A berlonggok-longgok time spm kalau asyik main2 dan tak peduli langsung tentang masa depan.

Konon2 hebat la bila Merah tolak untuk sambung diploma kat uitm dan poli. Seyes, masa tuh memang tak peduli langsung tentang masa depan. Bila Puan Mama start bertanya apa yang Merah nak buat dengan masa depan, Merah cepat2 masuk sekolah balik dan sambung tingkatan 6.

Dan sewaktu di tingkatan 6, sikap main2 dan berjimba masih menebal dalam diri. Merah masih kekalkan sikap tak matang tuh. Tapi study tuh Merah lebihkan sikit sebab Merah boleh fokus. Kalo spm Merah ambil 11 subjek, stpm 4 subjek jer kot. Mudah giler nak bagi tumpuan. Sombong giler statement Merah kan!!!

Dan korang tahu tak apa jadik masa exam stpm sebenar???

Ingat lagi waktu tu paper pengajian am. Paper pertama kot. Tangan Merah shaking. Hampir 30 minit Merah tak dapat nak tulis apa2 dalam kertas jawapan. Lutut lemah sangat. Jari jemari kebas. Nak pegang pen pun rasa lemah giler. Nak tahu kenapa?

Sepanjang setahun setengah menjadi pelajar tingkatan 6, Merah tak pernah terfikir akan realiti hidup. Dan tiba2 bila dalam exam sebenar Merah terfikir sesuatu yang patutnya Merah fikir setahun setengah yang lalu.

Kalau gagal stpm, apa Merah nak buat?

Macam mana nak terus sambung belajar?

Nak keja apa nanti?

Sian Puan Mama sebab kecewa nanti?

Tak kan nak kawen sebab gagal stpm kot.

Malu nak jumpak kawan2 kalau gagal stpm. Rendah diri giler kot.

Dan selepas berpeluh-peluh, shaking dan merunsing-runsing dalam dewan exam, Merah teringat senyuman Puan Mama sebelum datang sekolah tadi. Automatik rasa2 yang menggila tuh hilang. Merah siap terkumat kamit baca doa2 untuk menenangkan hati kot. Rasanya itulah hari yang paling banyak Merah berselawat untuk tahun tuh. Poyo.!

Okep, itu cerita 8 tahun dulu masa amik stpm..

Untuk adik2 hari ini, buat pilihan yang terbaik. Kumpul seberapa banyak maklumat untuk sebarang bidang yang kamu nak pilih. Insyaallah, Allah akan permudahkan urusan kamu2 yang mencintai ilmu nih.

Buat Pikah aka K.Yong, 
Mabruk untuk result spm yang giler2 gempak tuh. Akak bangga giler dengan kamu. Moga langkah yang kamu bakal ambil nanti merupakan langkah terbaik dalam mencorakkan masa depan kamu.

Buat kamu2 yang sedang berduka,
Rileks aaaaa... Ini bukan pengakhiran hidup kamu. Saat satu pintu tertutup, ada berlonggok longgok lagi pintu lain yang terbuka untuk kamu. Please, jangan tenung lama sangat kat pintu yang tertutup tuh. Move on okep...

Mabruk untuk adik2 SPM dan STPM 2014..

Monday, 16 February 2015

dengan bersendiri aku belajar mengenal diri



Selama ini aku pegang teguh prinsip memendam, menghadam, mengunyah dan menelan apa jua yang aku rasa. Hatta dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar hal yang aku teroka. Aku tak pernah kongsikan kepada sesiapa. Kalau ada pun, cuma 5% yang aku kongsikan. Cukuplah. Cukuplah.!!

Semenjak aku dah pandai membina tembok yang menjulang tinggi, aku makin menyepi. Aku makin menjauh. Aku lebih selesa menyendiri. Dan aku makin teguh mengorak langkah.

Dengan bersendiri, aku tak perlu takut dengan apa2 bicara yang mungkin mengguris dada.

Dengan bersendiri, aku bebas menghayun kaki dan melangkah ke mana sahaja yang aku ingin terokai.

Dengan bersendiri, aku belajar menjadi cekal dan tabah. Lantas aku bebas mencorak diri tanpa terpengaruh dengan apa jua yang merintangi.

Aku memang lebih selesa begini..!!

Ramai yang suarakan komen2 peribadi. Aku sombong. Aku berlagak. Aku lupa diri. Aku ketepikan individu2 yang pernah ketawa dan menangis bersama-sama. Aku begitu. Aku begini. 

Dan aku memilih untuk membisu seribu bahasa. Aku cuma mampu berdiam diri dan menelan kata2 yang penuh bisa. Tak apa, aku sudah terbiasa.

Menjadi manusia yang terlalu peduli sebenar-benarnya memilih untuk tersakiti. Aku bukan sang bidadari yang sedia menerima tujahan demi tujahan dengan penuh senyuman. Tidak, aku bukan sang bidadari..!!

Bukan aku tak rindu pada mereka2 yang aku tinggalkan di luar tembok yang menjulang tinggi itu. Rindu, cukup2 rindu. Hanya Tuhan yang tahu betapa saban waktu aku memujuk hati yang sarat dengan rindu. 

Namun aku percaya, Dia akan menjaga insan2 yang aku rindu itu dengan sebaik-baik penjagaan. Aku serahkan kepada Dia, pemilik hati dan pemilik cinta. Aku percaya dengan seteguh kepercayaan di jiwa, Dia akan ada di setiap langkah yang diatur oleh insan2 yang aku cinta.

Insyaallah, pasti akan baik2 sahaja.

Monday, 9 February 2015

kau tak akan selamanya menjadi manusia hitam


Kadang2 aku rasa penat sangat2 dengan kehidupan nih. Penat yang aku tak mampu nak jelaskan. Sampaikan aku tak tau nak karang ayat yang macam mana untuk tunjukkan betapa aku penat.

Saban waktu aku pujuk hati. Bagi kata2 semangat sikit kat hati supaya jangan lembik sangat. Brain wash sikit2 supaya anasir2 negatif tuh tak terus menerus berhidup dengan subur.

Dan aku pernah keluarkan satu statement kat Cik Adik.

"Aku rasa dah lama aku tak senyum sebab aku betul2 gembira. Senyum yang betul2 senyum. Aku dah tak ingat bila kali terakhir aku senyum dengan seikhlas hati."

Bila aku down dan lost tahap loser aku akan salahkan diri aku untuk dosa2 semalam. Untuk kekhilafan yang aku sepatutnya mampu elak. Untuk tindakan2 bodoh yang aku ambil dan untuk segala jenis perbuatan yang aku rasa salah.!!

Aku sedar, aku jua manusia hitam. Manusia yang pernah memalitkan noda di hati. Manusia yang pernah lupa bahawa hidup ini bukan kekal abadi. Manusia yang pernah alpa dan bertindak membuta tuli. 


Bukan aku tak cuba untuk padamkan cerita2 ngeri semalam, tapi makin aku cuba menidakkannya, bab demi bab dari cerita2 itu tiba2 ditayangkan pada ruang mata aku. Ia mula menyentakkan tenang. Mengundang ketakutan yang amat. Amat!! Dan sedikit demi sedikit aku benci pada apa adanya. 

Setiap orang ada kisah hitam. Setiap orang ada hari2 semalam yang seboleh-bolehnya nak kita tong sampahkan dan buang ia dari melekat di fikiran. 

Ada manusia yang hitam pekat silamnya.

Ada manusia yang samar2 warna hidupnya.

Ada manusia yang penuh dengan warna2 yang tak mampu dijelaskan keadaannya.

Dan cerita aku mungkin hitamnya tak sepekat manusia2 lain, namun saban hari aku bergelut dengan kisah2 hitam akibat cerita2 semalam.

Keliru????

Maaf sebab membebankan ruang di kepala kamu, kamu, kamu dan kamu.

Aku cuma terlalu penat. Penat. Fullstop!!!

Aku selalu membayangkan bahawa aku seorang saintis yang berjaya mencipta mesin masa (^_^). Aku benar2 mengharapkan angan2 itu menjadi kenyataan. Aku ingin kembali pada hari2 silam dan betulkan segala yang aku kesalkan. Aku ingin padamkan mimpi2 ngeri yang acapkali menyentakkan tenang. Aku ingin pastikan tiada apa yang terjadi. Tiada apa yang menyakiti. Tiada apa yang melukai. Tiada apa!!!!!

Aku cuma ingin melupakan. Biar aku hilang segala ingatan2 yang menakutkan. Sampai bila aku mahu menggalas beban di bahu? Sampai bila???

Dan penghujung 2014 menjadi saksi. Aku lepaskan semua. Semua. Ya, aku lepaskan semua.!!

Pergilah.
Terbanglah.
Lenyaplah.

Aku ingin menjadi wanita yang berbahagia. 

Aku tak akan menjadi lemah. Tak akan. Aku tak perlukan mana2 bahu untuk berkongsi cerita hati. Aku tak perlu mana2 tangan untuk dihulur saat aku rebah, tersungkur atau jatuh. Aku tak perlukan apa jua simpati atau ruang untuk dipeduli kerna mereka2 tak selamanya berada di sisi.

Ikhlas, ikhlas dan ikhlas.

Aku belajar untuk menerima. Aku belajar untuk bertahan. Aku belajar untuk melawan ketakutan2 semalam. Aku belajar untuk melihat kehidupan dari sudut yang berbeda dari kebiasaannya.

Dan yang paling utama, aku belajar meluahkan pada Yang Maha Kuasa. Dia adalah Pengharapan yang sebenar benarnya. Dia Maha Penyembuh. Dia Pemilik Hati dan Dia akan menyembuhkan hati2 yang terluka dan terbeban dek mehnah dunia.

Aku tak rasa aku kuat sebab selama aku mampu berdiri ini aku cuma bertahan. Bertahan agar tak jatuh. Bertahan dari apa jua yang merempuh. Bertahan dari membiarkan semangat dan azam menjadi rapuh.

Aku masih dalam proses untuk benar2 menjadi ikhlas. Ikhlas melupakan silam yang menyeksakan. Ikhlas memadamkan igauan demi igauan yang mengocak tenang. Ikhlas. 

Aku percaya, ada satu ketika nanti aku akan tersenyum walau dihadapkan dengan cerita2 silam yang maha menyakitkan. Aku akan menjadi manusia kuat. Manusia tabah. Manusia cekal. Manusia teguh.!!

Cik Merah yang Manis,

"..Berpenat lelahlah kerana sesungguhnya kesenangan itu selepas kepayahan, jangan berdukacita jika hidup ini meletihkan kerana demikianlah hidup ini diciptakan.."